Monday, September 8, 2008

(Part 2) Hindarkan Perkara2 Yg Menjejaskan Kesempurnaan Ibadat Puasa

3. Melakukan perkara-perkara harus namun ia tidak selari dengan rahsia pensyariatan ibadat puasa

Antara tujuan pensyariatan ibadat puasa itu ialah untuk melatih diri seseorang supaya lebih mentaati perintah Allah Subahanahu wa Ta‘ala. Menurut ulama’, berlapar dan berdahaga itu dapat melemahkan dan mengekang nafsu syahwat daripada melakukan perkara- perkara yang ditegah dan perkara-perkara maksiat. Keadaan rasa lapar dan perut yang kosong itu akan memberi kesan yang besar dalam menjernihkan hati seseorang dan seterusnya akan menggiatkan lagi anggota tubuh-badan untuk melakukan amal ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebaliknya perut yang kenyang itu akan menyebabkan hati menjadi keras dan mudah alpa daripada mengingati Allah dan ini akan mendorong rasa malas untuk melakukan perintah-perintah- Nya..

Oleh sebab itu, ketika berbuka puasa seseorang itu dituntut agar tidak makan secara berlebihan sehingga terlalu kenyang kerana ini bertentangan dengan maksud dan rahsia ibadat puasa itu sendiri.

Antara perkara-perkara yang tidak selari dengan rahsia ibadat puasa itu juga ialah tidak menjaga diri daripada apa yang dinamakan sebagai perkara-perkara syahwat yang mubah. Syahwat yang dimaksudkan dalam hal ini ialah perkara-perkara yang selalunya menjadi keinginan seseorang dan pada dasarnya hukumnya adalah harus dan tidak membatalkan puasa. Perkara-perkara ini dapat dikategorikan sebagai perkara-perkara yang menyeronokkan sama ada perkara-perkara yang sedap didengar, dilihat, disentuh ataupun dihidu.

Antara contoh perkara-perkara di atas ialah mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan tanpa alat-alat muzik yang haram digunakan, melihat perhiasan-perhiasan atau ukiran-ukiran yang cantik atau sedap dipandang dan juga menghidu minyak-minyak wangi atau benda-benda yang harum.

Atas sebab yang sama seperti di atas, mandi kerana tiada tujuan yang dituntut oleh Syara‘ atau sekadar bersuka-suka pada siang hari bulan Ramadhan juga makruh dilakukan. Bagaimanapun, sekiranya tujuan mandi itu adalah kerana mengerjakan sembahyang Jum‘at, tidak sempat mandi junub sebelum terbit fajar, ingin menghadiri perhimpunan orang ramai, bau badan yang busuk atau seumpamanya, maka mandi atas tujuan-tujuan tersebut tidaklah makruh bahkan dituntut dan disunatkan pula.

Sayugia diingatkan dalam perkara ini, jika majlis yang ingin dihadiri itu diadakan pada sebelah malam, maka menurut pendapat setengah ulama’ adalah lebih baik (disunatkan) mandi pada sebelah malam juga dan bukannya pada siang hari ketika mengerjakan puasa.

Menurut ulama juga, lebih awla (utama) meninggalkan bercalak mata ketika mengerjakan puasa, kerana ia juga merupakan perbuatan berhias-hias dan bersenang-senang yang tidak sehaluan dengan rahsia ibadat puasa itu sendiri.

4. Bersiwak selepas masuk waktu zuhur sehingga sebelum waktu terbenamnya matahari.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:


Maksudnya: “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu pada hari kiamat lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.”

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perkataan ‘lebih harum’ dalam hadits ini merupakan pujian dan tanda keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap orang yang tidak menghilangkan bau mulutnya akibat berpuasa itu. Ini juga membawa maksud bahawa perbuatan membiarkan bau mulut ketika berpuasa itu merupakan satu perkara yang dituntut. Sebaliknya menghapuskannya pula adalah makruh.

As-Sayyid al-Bakri Rahimahullah menyatakan sebab mengapa bersiwak itu makruh setelah masuknya waktu zuhur adalah kerana bau mulut yang terhasil pada waktu itu adalah kesan daripada ibadat puasa yang dikerjakan. Bau mulut yang terjadi sebelum waktu itu pula boleh jadi disebabkan oleh faktor-faktor yang lain seperti kesan makanan atau minuman yang diambil sebelum imsak.

Sesetengah ulama’ berpendapat jika bau mulut bukan disebabkan kesan ibadat puasa semata-mata contohnya bau mulut kerana tidur atau kerana termakan makanan yang berbau busuk secara tidak sengaja, maka tidaklah makruh bersiwak ataupun memberus gigi walaupun selepas masuknya waktu zuhur.

Bagaimanapun, menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, pendapat yang awjah (lebih tepat) menyatakan hukum makruh itu tetap berlaku sekalipun perubahan bau itu bercampur antara kesan berpuasa dengan kesan faktor yang lain.

Atas sebab yang serupa, maka dapat dikiaskan bahawa memberus gigi selepas waktu tergelincirnya matahari juga makruh. Bagaimanapun, dalam hal ini seorang yang sedang berpuasa mestilah memastikan bahawa air, ubat gigi dan seumpamanya tidak masuk ke bahagian had batin mulut sewaktu memberus gigi kerana jika ini berlaku ianya akan membatalkan puasa.

5. Mengucup isteri atau sebaliknya.

Makruh ke atas orang yang mudah terangsang syahwatnya untuk melakukan persetubuhan atau mudah inzal (keluar air mani) mengucup isteri atau suami pada bibir, mencium pipi dan sebagainya ketika sedang mengerjakan puasa. Perbuatan tersebut makruh kerana ditakuti ia boleh mendorong seseorang untuk melakukan persetubuhan.

Sementara orang yang tidak mudah terangsang syahwatnya pula, meninggalkan perbuatan mengucup bibir isteri atau mencium pipinya adalah lebih utama kerana setiap orang yang berpuasa disunatkan untuk menjauhkan dirinya daripada segala perkara-perkara syahwat.

Menurut al-Imam an-Nawawi Rahimahullah, perbuatan mencium bibir itu termasuk dalam kategori karahah at-tahrim (makruh yang hampir kepada peringkat haram) kerana ia boleh merosakkan ibadat puasa yang dikerjakan.

Juga termasuk dalam perkara-perkara yang mendorong berlakunya persetubuhan atau inzal itu ialah berpelukan, bersentuh-sentuhan kulit tanpa dilapiki oleh sesuatu dan sebagainya. Oleh sebab itu, ulama’ mengkiaskan perkara-perkara tersebut adalah seperti hukum mencium ketika mengerjakan puasa.

6. Berbekam

Berbekam pada dasarnya harus dan tidak membatalkan puasa. Bagaimanapun, meninggalkannya adalah lebih utama kerana perbuatan tersebut boleh melemahkan tubuh badan orang yang berpuasa dan ini akan mendorongnya untuk berbuka.

Makruh juga melakukan perkara-perkara yang seumpamanya, seperti menderma darah di siang hari bulan Ramadhan bagi orang yang sedang berpuasa kerana perbuatan ini boleh melemahkan anggota badan.

Abdul Rahman bin Abu Laila berkata bahawa seorang lelaki daripada kalangan sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah meriwayatkan:


Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada berbekam dan mengerjakan puasa wishal (menyambung puasa secara berterusan tanpa berbuka di malam hari). Bagaimanapun Baginda tidak mengharamkan kedua-dua perkara itu kerana kasih Baginda terhadap sahabat-sahabatnya.”

(Hadits riwayat Abu Daud)

Penutup

Adalah mustahak bagi setiap Muslim memastikan puasanya itu jauh daripada perkara-perkara yang dilarang walaupun larangan-larangan itu hanya dalam peringkat makruh supaya puasanya itu menjadi suatu puasa yang berkualiti dan bukanlah sekadar menperoleh lapar dan dahaga sahaja.

Sememangnya untuk mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara makruh semasa puasa ini memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang tinggi. Hanya hamba yang bersifat sabar, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam mendirikan puasa sahaja yang mampu dan akan berusaha bersungguh-sungguh menjaga anggota zahir dan batinnya daripada melakukan larangan-larangan ini semata-mata kerana inginkan ganjaran yang lebih dan berlipat ganda serta mengharap keredhaan Allah. Orang-orang yang sabar dan ikhlas ini akan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kurniakan dengan pahala yang tidak terkira.



Tafsirnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

(Surah az-Zumar: 10)

Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:



Maksudnya:
“Barangsiapa yang berpuasa bulan Ramadhan dan mengetahui batas aturannya serta menjaga perkara-perkara yang patut dijaga maka dihapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.”

(Hadits riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Melakukan perkara makruh itu walaupun tidak berdosa, namun ia tetap mempunyai nilai larangan dalam menuju kesempurnaan ibadat puasa.


1 comment:

faisol said...

terima kasih sharing info/ilmunya...
saya membuat tulisan tentang "Mengapa Pahala Tidak Berbentuk Harta Saja, Ya?"
silakan berkunjung ke:

http://achmadfaisol.blogspot.com/2008/08/mengapa-pahala-tidak-berbentuk-harta.html

semoga Allah menyatukan dan melembutkan hati semua umat Islam, amin...

salam,
achmad faisol
http://achmadfaisol.blogspot.com/